Bukan Legasi Lalang oleh Sri Rahayu Mohd

Keistimewaan : bahasa yang indah dan cerita yang sangat unik, aksi-aksi mendebarkan

Ulasan: Hikayat Hang Tuah dan Hang Jebat acap kali telah diceritakan, malah difilemkan. Namun bagaimanakah agaknya kisah tentang anak cucu mereka? Inilah pokok cerita novel ini. Berlatarbelakangkan zaman generasi ketiga dari keturunan Hang Tuah dan Hang Jebat, ia mengenai mempertahankan keadilan dan memelihara kebenaran.

Novel ini mempunyai banyak kekuatan. Butir bicara watak-wataknya yang penuh budi bahasa dengan menggunakan kata nama ‘hamba’, ‘anakanda’ dan ‘patik’. Gaya penulisan yang baik dalam menceritakan rentak silat yang digunakan pendekar-pendekarnya. Perumpamaan-perumpamaan yang diselitkan dalam jalan ceritanya. Plot yang penuh debaran dan kejutan. Tidak hairanlah novel ini memenangi hadiah sastera kumpulan utusan. Seronok benar diriku membaca hingga tidak sedar tentang keadaan sekeliling. Hampir-hampir terlepas stesen MRT yang tujui kerana terlalu khusyuk!

Setelah membaca novel ini, teringin juga untuk mengetahui tentang seluruh kisah Hang Tuah dan Hang Jebat. Masalahnya, hikayat ini banyak kontroversi dan versinya. Aku sendiri kurang pasti buku manakah yang patut dibaca. Sekiranya anda arif tentang hikayat ini, bolehlah berikan cadangan, buku mana yang patutku baca.

Sementara itu, aku akan terus mencari………… kebenaran.

Selamat Datang.

Aku cuba untuk mencari sebuah lelaman yang membicarakan tentang buku-buku yang aku minati, tetapi tidak ada yang sama dengan citarasaku. Mungkin aku tidak cari dengan sungguh-sungguh. Mungkin juga tidak ada lelaman sedemikian yang wujud. Maka lahirlah lelaman ini.

Aku tidak mengaku sebagai pakar buku. Pengalamanku dalam membaca buku Melayu juga tidaklah luas, kerana aku cukup bosan dengan novel-novel bertema cinta yang biasanya disajikan. Namun tidak dapat dinafikan, ada juga buku-buku yang mempunyai idea-idea yang berisi dan kupasan isu-isu yang penting. Walaupun tidak banyak, tetapi buku-buku inilah yang aku ingin ketengahkan di sini.

Setiap orang mempunyai citarasa berbeza. Apa yang menarik minatku tidak semestinya menarik minat anda. Namun, cadangan dan pandangan sentiasa dialu-alukan. Semoga lelaman ini mempunyai manfaatnya.

Nota : Gambar-gambar yang ada dalam setiap ulasan buku bukanlah gambar pada kulit buku yang asli, bukan juga satu percubaan untuk memperbaikinya. Is sekadar hiasan untuk menambahkan warna pada lelalaman ini.

B

U

K

U

 

L

A

I

N