Sesegar Nailofar oleh Zaid Akhtar

Keistimewaan : mampu memberi kesan pada pembaca dan membuat pembaca berfikir

Ulasan: Aku terkesan dan semangatku untuk berjuang kembali berkobar setelah membaca karya ini.

Iqbal adalah seorang siswa yang sedang menuntut dalam semester terakhirnya di Jordan. Kesabaran dan keyakinannya kepada Allah s.w.t. begitu kuat, dan wajar untuk dijadikan iktibar. Dia hanya manusia biasa, menghadapi masalah-masalah yang biasa dihadapi oleh kita semua, tetapi caranya menghadapi masalah-masalah itu membuka mindaku dan mengingatkanku, Rasulullah s.a.w. juga manusia dan tidak mustahil untuk kita cuba mencontohinya.

Suasana tegang yang diketengahkan akibat desakan manusia-manusia durjana mengingatkan aku kembali bahawa perjalanan masih jauh. Aku juga menginsafi, ramai saudara-maraku di luar sana sedang menderita dan seharusnya aku, yang tinggal dalam negara yang masih aman tidak seharusnya mudah berputus asa.

Aku juga cukup insaf bahawa pengetahuanku tentang agamaku sendiri teramatlah cetek, dan aku seharusnya berupaya untuk mendalaminya. Semoga azamku dapat diteruskan.
Ayat-ayat Cinta oleh Habiburrahman El-Shirazy

Keistimewaan : Kisah cinta yang mempunyai kelainan

Ulasan: Buku cinta Melayu biasanya tidak menarik minatku. Bagiku, semuanya mempunyai jalan cerita yang lebih kurang sama, watak-watak yang serupa, malah dialognya juga tidak banyak perbezaan. Ayat-ayat Cinta sebaliknya mempunyai kelainan daripada novel-novel cinta lain kerana cinta bukan pokok jalan ceritanya. Ia mengenai Fahri, seorang warganegara Indonesia yang tinggal di Mesir untuk menuntut ilmu. Pengalamannya, buah fikirannya, perasaannya serta dugaan yang dihadapinya adalah antara yang dipaparkan dalam buku ini. Membaca buku ini membuka mindaku dan menyedarkanku bahawa banyak perkara yang aku tidak tahu tentang kehidupan dan budaya di negara-negara lain.

Novel ini mendapat banyak pujian kerana dikatakan bersifat ‘Islami’. Malah filem yang diterbitkan mempunyai sambutan hangat. Aku tidak pernah melihat filemnya, sekadar trailernya. Namun ia cukup untuk aku membuat penilaian. Di sini aku ingin menganjurkan agar kita bersikap hati-hati dalam menilai adakah sesuatu bersifat Islami ataupun tidak, kerana pada penilaianku, novel dan filemnya masih banyak kekurangan dari sudut hukum Islam. Aku lebih cenderung untuk menyarankan karya Zaid Akhtar (yang akan aku perkatakan nanti) jika anda ingin membaca sesuatu yang berpandukan nilai-nilai Islam. Namun ia tidak bermakna tidak ada sesuatu yang kita boleh belajar dari membaca novel ini.

Interlok oleh Abdullah Hussein

Keistimewaan : Gaya penulisan yang mudah difahami tetapi berkesan

Ulasan: Mereka mempunyai latarbelakang yang berbeza. Asal-usul yang berbeza. Memiliki bahasa dan warna kulit yang berbeza. Apakah yang akhirnya membuat mereka bersatu, bekerjasama dan hidup dengan penuh toleransi dan harmoni? Bagaimana semangat nasionalisme tanpa mengira bangsa dan agama boleh tertanam dalam jiwa mereka? Inilah yang dipaparkan dengan jayanya oleh penulis dalam kisah ini.

Ku cukup kagum dengan penulisan yang mampu menghidupkan suasana dan watak-wataknya dengan baik sekali. Kisah hidup tiga watak utama diceritakan satu persatu. Kaitan antara ketiga-tiganya tidak diceritakan sekaligus, tetapi didedahkan sedikit-sedikit. Jelas sekali jalan ceritanya tidak mungkin dapat dikarang tanpa rangka yang disediakan dengan teliti. Kekuatan buku ini terletak pada mesejnya tentang nasionalisme yang disampaikan secara santai dalam bentuk cerita. Tidak hairanlah novel ini mendapat pengiktirafan.

B

U

K

U

 

L

A

I

N